Friday, September 17, 2010

-prosedur perceraian-

Assalamualaikum

Hari ni aku cumer nk kongsi information ng korang sume ttg prosedur perceraian n hak2 isteri y boleh dtuntut after divorce..cz aku terdetik utk kongsi sumer ni selepas per yg dh berlaku kpd member bek aku sdiri..dia telah diceraikan oleh suami dia yg xbert/jwb tu malam td..so,aku harap information yg aku bg ni sama2lah kita baca n sbgai persediaan di msa hadapan.


Syarat-syarat Perceraian
(a) Perkahwinan anda didaftarkan di Malaysia.
(b) Perkahwinan anda mengikut Hukum Syarak.
(c) Permohonan perceraian harus dibuat di negeri tempat anda atau suami anda tinggal.

Jenis Perceraian
Terdapat 4 jenis perceraian yang sering digunakan:
(i) Taliq
(ii) Fasakh
(iii)Khulu
(iv) Lafaz Talaq

Taliq (Perceraian kerana melanggar perjanjian)
Taliq adalah perjanjian perkahwinan yang dilafazkan oleh suami semasa akad nikah. Jika
suami anda melanggar taliq, anda boleh melaporkan hal ini kepada mahkamah, dan
sekiranya mahkamah mendapati suami telah engkar taliq maka perkahwinan boleh
terbubar dengan satu talaq. Taliq mempunyai syarat-syarat seperti berikut:
(a) meninggalkan anda selama 4 bulan atau lebih tanpa nafkah; dan
(b) melakukan penganiayaan terhadap anda.
Biasanya perkahwinan yang didaftarkan selepas tahun 1980 mempunyai taliq yang
tertulis di sijil perkahwinan. Semua negeri mempunyai taliq berkaitan nafkah dan
peninggalan langsung. Hanya beberapa negeri membenarkan perceraian taliq atas alasan
penganiayaan.

Fasakh (Pembubaran Perkahwinan)
Anda boleh memohon fasakh jika suami anda melakukan kesalahan tertentu. Di
antaranya ialah jika suami anda:
(a) hilang selama lebih daripada 1 tahun;
(b) tidak memberi nafkah selama 3 bulan;
(c) dipenjarakan selama 3 tahun atau lebih;
(d) gagal memberi nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama 1 tahun;
(e) berterusan mati pucuk sejak mula berkahwin tanpa pengetahuan anda;
(f) menghidap kusta atau vitilago atau penyakit kelamin yang berjangkit atau gila selama
2 tahun;
(g) berkahwin tanpa rela anda pada usia anda 18 tahun atau kurang, walaupun diwalikan
oleh wali mujbir dan suami belum menyetubuhi anda hingga sekarang;
(h) menganiaya anda seperti melakukan penderaan fizikal dan mental, memaksa anda
menjalani hidup yang tidak bermoral, menggunakan harta anda tanpa kerelaan anda,
tidak adil dalam berpoligami, menghalang anda daripada beribadat dan suami anda
berkawan dengan perempuan jahat;
(i) belum menyetubuhi anda setelah berkahwin selama 4 bulan kerana suami enggan
berbuat demikian;
(j) berkahwin tanpa persetejuan anda atau persetujuan anda berdasarkan paksaan,
kesilapan, ketidaksempurnaan akal dan keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) berkahwin dengan anda dengan persetujuan sah, tetapi pada masa perkahwinan ada
mengalami ketidakstabilan mental (sakit otak), samada berterusan atau berselang
(mengikut tafsiran Ordinan Sakit Otak 1952) dan penyakit itu menyebabkan anda
tidak berupaya memasuki perkahwinan;
(l) anda mempunyai kecacatan yang meghalang persetubuhan;
(m)atau alasan-alasan lain yang sah di sisi Hukum Syarak yang mugkin berbeza
mengikut negeri tempat perceraian dipohon.

Khulu'
Anda boleh menawarkan pampasan kepada suami sebagai balasan melafazkan talaq.
Jumlah pampasan tertakluk kepada persetujuan anda dan suami anda, dengan diadili oleh
mahkamah. Di zaman Rasulullah S.A.W pampasan ialah maskahwin (mahar).

Lafaz Talaq
Perceraian diperolehi apabila suami hadir ke mahkamah dan melafazkan talaq. Sekiranya
suami melafazkan talaq di luar mahkamah maka anda haruslah merujuk kepada
Mahkamah Syariah untuk mengesahkan lafaz talaq tersebut.

Ruju’
Suami hanya boleh ruju’ dengan anda dalam tempoh ‘iddah (3 kali haid atau 3 bulan
selepas perceraian). Ruju’ mesti dilafazkan oleh suami dan didaftarkan di Mahkamah
Syariah. Mahkamah akan siasat samada anda bersetuju terhadap ruju’ tersebut. Jika anda
tidak bersetuju, mahkamah akan melantik satu jawantankuasa pendamai untuk cuba
mendamaikan anda dan suami. Sekiranya anda masih tidak bersetuju, anda tidak akan
dipaksa untuk ruju’. Ruju’ tidak boleh dilakukan dalam perceraian khul’, fasakh atau
talaq tiga.

Nafkah dan Harta
Nafkah
Selepas proses perceraian, anda berhak menuntut:
1. Nafkah Iddah
2. Nafkah tertunggak isteri (jika pada masa perkahwinan suami gagal memberi anda
nafkah).
3. Nafkah anak dan nafkah tertunggak anak (jika anda diberi hak penjagaan anak secara
kekal atau sementara)

Mutah (Bayaran saguhati)
Anda berhak memohon mutah daripada suami anda selepas perceraian. Jumlah mutah
akan ditetapkan oleh mahkamah mengikut Hukum Syarak. Diantara perkiraan mutah
ialah:
Nafkah Harian x Tempoh Perkahwinan

Harta Sepencarian
Anda berhak memohon harta yang terkumpul semasa perkahwinan anda dan suami.
Mahkamah akan membuat keputusan mengenai kadar pembahagian harta tersebut dengan
mengambil kira sumbangan anda seperti :
(a) kewangan, harta benda atau tenaga;
(b) hutang untuk kepentingan bersama semasa perkahwinan;dan
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa.
Anda berhak menuntut harta sepencarian walaupun harta yang diperolehi semasa
perkahwinan hanya daripada usaha suami sahaja. Mahkamah akan membahagikan harta
tersebut dengan mengambil kira:
(a) sumbangan tenaga anda terhadap kebajikan keluarga;
(b) sumbangan tenaga anda yang membolehkan suami mengumpul harta; dan
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan anda.

Hak Tempat Tinggal
Anda berhak tinggal di rumah yang didiami semasa perkahwinan selagi suami anda tidak
menyediakan tempat tinggal lain yang bersesuaian. Hak tempat tinggal akan terbatal
apabila:
(a) tamat tempoh ‘iddah
(b) tamat tempoh penjagaan anak
(hingga umur 18 tahun atau lebih)
(c) anda berkahwin lain
(d) anda berlaku keji

Hadanah dan Penjagaan Anak
Anda mempunyai keutamaan ke atas hadanah (custody) anak dan suami pula ke atas
penjagaan (guardianship) hak dan harta anak. Hak-hak tersebut boleh dicabar di
mahkamah jika salah satu pihak dianggap tidak sesuai diberi hak tersebut. Mahkamah
akan mengambil kira kepentingan anak.

Kesalahan Perkahwinan
Anda boleh membuat aduan di mahkamah tentang perbuatan suami anda dan mahkamah
boleh mendakwanya atas kesalahan-kesalahan seperti berikut. Diantaranya ialah jika
suami anda:


1. Menggangu anda 
Anda boleh mendapatkan perintah tegahan daripada mahkamah untuk
menghentikan gangguan tersebut mengikut Undang-undang Keluarga Islam atau
Akta Keganasan Rumatangga.

2. Menganiaya dan berlaku tidak adil terhadap anda 
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

3. Berpoligami tanpa kebenaran mahkamah 
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

4. Melafazkan cerai diluar/tanpa kebenaran mahkamah
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

5. Meninggalkan langsung anda setelah diperintah oleh mahkamah untuk
kembali kepada anda dia enggan berbuat demikian
Perbuatan ini melanggar perintah mahkamah dan suami boleh didenda dan/atau
penjara.

No comments:

Post a Comment