Ramai orang sering mengatakan, “tiada jodoh”, “jodoh di tangan Tuhan” dan yang seumpama dengan keduanya. Ya, memang itu adalah sebuah hakikat yang tidak susah untuk diterima. Malah, bagi orang yang mengaku beriman kepada Allah, mempercayai hakikat jodoh dan ajal ditangan Tuhan bukan persoalan. Malangnya ketika tiba kepada alam nyata bukan alam teori dan ideologi begitu ramai manusia yang tidak menunjukan keyakinan sebenar mereka mengenai persoalan ini ke dalam tindakan mereka. Buktinya, begitu ramai dari manusia berusaha untuk menentukan jodoh padahal jelas sebelumnya dia mengatakan bahawa jodoh adalah urusan Tuhan untuk menetapkan.
Memang rumit membahas perkara berkaitan ketentuan dan usaha yang perlu manusia lakukan dalam membentuk sebuah ketentuan. Dalam kata lain, Ketetapan atau ketentuan Allah SWT telah termaktub sejak azali lagi. Manusia pula yang meyakini hal ini kadang-kadang lupa sehingga terlalu hanyut dalam kemampuan dan usaha sendiri sehingga dengan sengaja atau pun tidak, sedar atau pun tidak, mereka melanggar batasan-batasan Allah.
Jika kita yakin bahawa jodoh di tangan Allah, mengapa perlu kita berusaha sehingga melanggar batasan yang telah Allah tetapkan. Pada akhirnya apa yang berlaku semuanya tetap merupakan ketentuan Allah. Bezanya, apa yang terjadi kepada mereka yang mengutamakan batasan-batasan Allah mendapat jaminan pahala dan syurga sedangkan mereka yang gagal menjemput ketetapan dengan mentaati batasan-batasan itu akan menanggung akibat kebinasaan yang akan menjadi penyesalan. Penyesalan yang tiada kesudahan.
Urusan jodoh adalah salah satu sampel nyata yang dapat melatih manusia untuk menggabungkan usaha manusiawi dan tawakkal (penyerahan diri) kepada Allah SWT. Bagaimana ia dilaksanakan? Persoalan yang sukar dijawap dengan tulisan bahkan sukar juga untuk dijawab dengan berbahasan.
Semoga Allah menjadikan kita dikalangan orang yang yakin kepadaNya, orang yang bersungguh-sungguh menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya, orang yang benar-benar menjadikan kehidupan sebagai persembahan perhambaan kepadaNya, orang yang menjadikan niat dihatinya sentiasa kerana Allah hinggalah kepada urusan-urusan jodoh dan ajal. Semoga Allah merahmati kita semua dan menentukan yang terbaik.
Yeah... Saya Sokong..
ReplyDelete