Wednesday, January 5, 2011

-Alhamdulillah-

berita ni ada kaitan ng ayah sahabat baik zaa, Tini dari Perlis..jum kita baca..
 
Rabu, 05 Januari 2011

Bertarung nyawa 7 jam


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA SANGLANG: “Bagaikan mati hidup semula, kerana dalam fikiran pak cik sudah ingat mati berikutan seluruh badan dan kaki kebas akibat terlalu lama berendam dalam air.
“Pak cik bertarung nyawa lebih tujuh jam dan reda dengan apa yang terjadi selepas itu kerana rasa tidak larat dan lemah,” kata nelayan, Saidin Che Mad, 58, yang terselamat bersama anak dan rakannya selepas bot pukat yang mereka naiki karam dipukul ombak di Pulau Payar, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa bersama anaknya Khairulnizam, 32, dan rakan Halib Ismail, 43, dalam perjalanan pulang ke jeti selepas memukat ikan di perairan berkenaan.
Saidin berkata, ketika kejadian, dia dan Halib memandu bot, manakala anaknya tidur kerana keletihan memukat ikan sejak jam 3 petang sehari sebelumnya.

“Ketika dalam perjalanan pulang, tiba-tiba bot kami dipukul ombak dan bahagian depan bot pecah. “Air mula memasuki dalam bot di bahagian depan dan tidak sampai lima minit bot kami mulai karam.

“Ketika itu angin kencang dan hujan lebat menyebabkan kami terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri. Mujur ada tong ikan yang kami bawa dan sempat paut.
“Pada mulanya, ketika kami terjun terdapat tiga tong ikan. Bagaimanapun, dua daripada tong berkenaan terikat pada bot menyebabkan tong itu juga turut karam.

“Nasib baik anak saya sempat memaut pada tong ikan jika tidak kami tak tahu nasib kami. Dalam sekelip mata bot kami karam,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Saidin berkata, angin kencang disusuli hujan lebat menyebabkan bot mereka sepanjang 11. 2 meter karam dipukul ombak kuat.

“Kami ternampak beberapa bot nelayan melalui kawasan itu, malangnya mereka tidak nampak kami kerana keadaan cuaca yang gelap serta hujan lebat.

“Selepas beberapa jam berpaut pada tong ikan bersama anak dan rakan pak cik, seluruh badan kaki dan tangan kebas serta lenguh sehingga pak cik berputus asa dan bertawakal kepada Allah.

“Anak dan kawan banyak memberi kata semangat supaya bertahan. Pak cik cakap sudah tidak larat dan rasa nak melayang. “Akhirnya anak pak cik suruh pak cik masuk dalam tong ikan itu kerana sedih melihat keadaan pak cik yang sudah tidak bermaya,” katanya.

Sementara itu, Khairulnizam berkata, dia dan rakannya terpaksa memegang tong berkenaan sekuat hati kerana bimbang hanyut dibawa air.

“Perasaan saya ketika itu berbaur takut dan sedih...lebih tujuh jam kami berpaut pada tong ikan ini sehingga menerima bantuan bot nelayan dari Kuala Perlis berhampiran dengan Pulau Langkawi kira-kira jam 10 pagi.

“Nasib baik nelayan itu dapat melihat kami yang terkapai-kapai di tengah laut. Kami bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya yang sudah empat kali mengharungi pengalaman bot karam tahun lalu.

Dalam pada itu, Halib berkata, dia berserah kepada Allah sepanjang kejadian itu.

“Macam mati hidup balik...saya berdoa cepatlah terang supaya bot nelayan lain dapat jumpa kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment